Wednesday, September 2, 2015

YANG DIPERTUA PIBG 2015/2016



Sekalung Bicara Yang DiPertua PIBG SKSR bagi Majalah Sekolah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sebelum meneruskan bicara, ingin saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan dan menerbitkan majalah sekolah pada kali ini. Terima kasih juga kerana memberikan ruang  untuk saya melakarkan sepatah duakata di edisi Rekrospektif 2015. Sekalung tahniah diucapkan kepada AJK Sidang Redaksi yang telah bertungkus-lumus menyediakan bahan-bahan untuk tatapan semua.

Kejayaan ini merupakan kesinambungan tradisi yang berlangsung selama ini dan memberikan pengertian yang besar kerana menerusi majalah ini, kita dapat merakamkan peristiwa suka duka dan pahit manis yang mewarnai pengalaman kita. saya pasti semangat juang dan dedikasi warga sekolah dapat melahirkan generasi yang cemerlang dalam aspek akademik maupun sahsiah.

Pemuafakatan antara ibu bapa dan guru merupakan tunjang penting melahirkan kejayaan anak-anak. Semangat kerjasama ibarat aur dengan tebing akan menyediakan landasan yang kukuh untuk anak-anak meletakkan diri mereka sebelum mereka melakar kejayaan. Kejayaan dan komitmen yang jitu ini akan mampu membuahkan hasil yang optimum dalam pembentukan kejayaan anak-anak sama ada dalam kurikulum maupun kokurikulum . Jelaslah di sini, komitmen semua pihak mampu menjayakan anjakan.

Justeru, saya menyeru agar para murid sentiasa berusaha gigih memperbaiki pencapaian diri dan dapat membanggakan ibubapa di samping mengharumkan nama sekolah. Kegigihan serta ketabahan murid-murid serta guru-guru mampu membentuk modal insan yang mempunyai minda kelas pertama.

Akhirul kalam, saya mendoakan SKSR sentiasa beroleh kejayaan dan segala usaha akan diberkati Allah SWT. Semoga terus berjaya dalam segala bidang.

Sekian, terima kasih.

Dr. Rapidai bin Ahmad
Yang DiPertua PIBG
SK.Sg Rokam, Ipoh, Perak

No comments: