ARKIB : 28/09/2014
PIBG, guru bantu pulih semangat
IPOH 27 Sept. - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh membantu pihak sekolah untuk memulihkan semangat murid yang kecewa apabila terpaksa menduduki semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Pengerusi PIBG beberapa buah sekolah di sini berpendapat, mungkin ada calon yang memberontak kerana terpaksa sekali lagi menjawab soalan UPSR dan mereka ini perlu diberi kefahaman mengapa perkara itu perlu dilakukan.
Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam, Ir. Mohd. Nasharuddin Hashim berkata, pada usia yang masih kanak-kanak, tidak semua murid memahami dan dapat menerima hakikat mereka terpaksa menduduki semula UPSR.
Menurut beliau, dalam hal ini peranan PIBG, guru-guru dan ibu bapa amat penting untuk memberikan semangat.
Kata beliau, dalam masa yang sama, persediaan untuk menduduki semula UPSR perlu dipergiatkan seperti mana ketika hendak menghadapi peperiksaan sebelum ini.
"Terpaksa menjawab semula peperiksaan memang mengganggu murid kerana usia mereka yang masih kanak-kanak tidak faham apa yang berlaku.
"Untuk itu, semua pihak harus memulihkan semangat calon UPSR supaya mereka tetap bersemangat dan bersedia untuk menduduki semula peperiksaan.
"Bagi SK Sungai Rokam, guru-gurunya berusaha supaya isu ini tidak terus mengganggu murid. Kelas tambahan diadakan seperti sebelum ini dengan tumpuan terhadap mata pelajaran yang terpaksa diulang," katanya.
Bekas Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan Tambun, dekat sini, Ibrahim Abdul Rauf pula berpendapat, apa yang berlaku sesuatu yang mendukacitakan.
Untuk itu, kata beliau, pihak yang berkenaan perlu memastikan perkara yang sama tidak berulang di peringkat lebih tinggi seperti peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Perkara ini (menduduki semula UPSR) belum pernah berlaku dan di luar jangkaan. Ketika proses undang-undang dijalankan untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab, pihak sekolah dan PIBG perlu membantu calon untuk menjawab semula UPSR," katanya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140928/dn_07/PIBG-guru-bantu-pulih-semangat#ixzz3KR9COVoH
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment